Thursday, August 04, 2016

Terima kasih Abah & Mak
“Kiri, kanan, kiri,”

Jururawat itu cermat mendengar arahan dari seseorang sambil menyarungkan persalinan baru ke tubuhku. Mungkin ini merupakan hari pertamanya, fikirku.

Perbualan seterusnya di antara jururawat itu kembali mengingatkanku, sudah sepuluh bulan aku terlantar di hospital ini.

Sepuluh bulan yang cukup lama bagiku, yang saban hari mendengar setiap patah perkataan yang dituturkan orang di sekitar katil ini - tetapi kondisiku yang sedang koma telah melumpuhkan kemampuanku untuk melihat dan bergerak.

Sepuluh bulan yang cukup lama bagiku, yang saban waktu terpaksa menahan kesakitan yang tak tertahankan, untuk sebab-sebab rumit yang tak mampu aku fahami sepenuhnya kerana doktor-doktor itu sering berbicara sesama mereka dengan suara perlahan bernada bimbang.

Pada awalnya, hanya sendu tangis dan rayuan doa yang aku dengari. Abah, mak dan Sofia tidak pernah lekang menemaniku di sisi. Abangku yang sulung malah nekad menangguhkan peperiksaan akhirnya di Universiti Tokyo untuk melihat keadaanku. Tindakannya itu hampir-hampir membuatku ingin tersenyum.

Mak yang paling banyak menangis, dan paling gigih berdoa. Aku sentiasa mendengar doa mak yang tulus dan tak pernah putus, baik ketika orang lain berbual-bual, atau ketika orang lain berdengkur lena.


“Ya Allah ya Tuhanku, selamatkanlah anakku. Ya Allah ya Tuhanku, kurniakanlah kepadanya ketenangan. Ya Allah ya Tuhanku, hilangkanlah kesakitan yang menimpanya.”

Begitulah pinta mak berulang-ulang. Setiap ketika, setiap waktu.

Suara abah sedikit garau dan tinggi ketika membacakan akhbar Harakah di sisi katilku. Di kesempatan lain, abah membacakan terjemahan al-Quran kepadaku dan pernah suatu hari, abah membacakan seluruh siri Peter and Jane yang suatu ketika dahulu menjadi tatapan kami adik beradik ketika kecil. Aku benar-benar suka mendengar abah bercerita. Abah memang begitu, cuma bersuara bila ada sesuatu dan hanya bercakap bila perlu.

Isteriku Wan Sofia. Rayuan munajat dan esakan tangisnya seakan merobek jantungku yang rapuh. Dalam kesakitan aku dapat merasakan sebelah tangannya menggengam tanganku, dan sebelah lagi mengusap lembut pipiku. Dia tetap setia menemani di sepanjang deritaku.

Bulan berganti bulan, tubuhku semakin lemah dan sakit yang menimpaku semakin bertambah. Aku menjalani empat pembedahan yang dilakukan berasingan. Perlahan-lahan aku dapat merasakan cahaya kehidupanku kian malap dan bakal meninggalkanku.

Namun, setiap untai kata yang terbit dari bibir cantik Sofia memaksaku untuk terus bertahan melawan kesakitan yang berlumba-lumba menjarah tulang belakangku. Lidah dan telingaku mula terasa kebas dan wujud tekanan aneh di dalam dada dan pinggulku.

Hari itu, suara-suara yang kedengaran sedikit berlainan. Aku kemudian mengetahui mereka adalah sekumpulan doktor pakar.

“Akil sekarang dalam kesakitan yang memeritkan. Kami masih tidak pasti adakah Akil akan sembuh selepas ini, tetapi hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan, kami boleh katakan keadaannya tidak bertambah baik berbanding sepuluh bulan yang lalu,”

Doktor-doktor itu kemudian beredar, meninggalkan abah, mak dan Sofia. Aku mendengar merdu suara Sofia, teresak-esak dalam tangisnya. Dia meminta izin kepada abah dan mak untuk bersendirian denganku, walaupun cuma sebentar. Tidak lama kemudian kedengaran bunyi pintu dibuka dan ditutup.

Sofia memegang erat tangan kiriku dengan kedua tangannya.

“Sayangku. Kekasih hati seumur hayatku. Sofia rindukan abang. Sofia cintakan abang. Tapi jika benar abang dalam kesakitan seperti kata doktor ... ” Dia terhenti, mengumpul kekuatan untuk meneruskan kata, “Jika abang benar sakit, maka Sofia tak mahu lagi abang terus bertahan untuk Sofia. Cukuplah abang menderita, Sofia tak sanggup lihat abang terus dalam kesakitan. In shaa Allah Sofia akan jumpa abang lagi, suatu hari nanti. Dan dengan izin-Nya, di tempat yang jauh lebih baik. Sofia ... Sofia rela lepaskan abang.” Dia kemudian menyandarkan kepalanya ke bahuku, menangis semahunya.

Sepi memenuhi ruang. Jika mampu, aku sangat ingin mengukir senyum dan memandang wajahnya. Akhirnya aku berhenti melawan, dan saat itu pun kesakitanku turut berhenti.


HF
Irbid, Jordan 
4/8/2016

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Radar Hati -

- Radar Hati -

- Labels -

- Followers -

Dengan Nama Allah Aku Menulis. Powered by Blogger.

© Haikal Fansuri Customized by Dr. Haikal Fansuri -

tag.