Rahsia 6 Huruf Perempuan Melayu

Tinak ketinak tannaa

Teringat dulu-dulu sewaktu masih berada di Tanah Melayu, haqir pernah terbaca sebuah buku, judulnya Surat-Surat Perempuan Johor. Dalam buku itu, pengarangnya memetik sebuah tulisan Melayu klasik yang menceritakan tentang keindahan dan kesopanan akhlak perempuan Melayu. Tulisan indah itu menyebut :

Perempuan itu seperti dalam pengetahuan kita, terkandung dalam enam huruf pengertiannya.

Kanda Tunku, kita ini ingin mengingatkan diri dan juga diri kanda jua akan ajaran-ajaran lama yang pernah kita sama-sama teguk lama dahulu.

Huruf Fa itu berkaitan fasih. Lidah kita orang perempuan itu harus fasih memuji Allah dan Rasul-Nya, memuji kebaikan suami dan orang yang berbudi kepadanya. Sedang huruf Ra itu mengenai ramah untuk bertemu jalan Allah, ramah mendapatkan petunjuk Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam serta ramah mendapat kasih suami.

Kitab itu juga mengajarkan kita, huruf Mim pada perempuan itu adalah sifatnya yang malu kepada Allah dan kepada Rasul, sayugia setelah ada segan ada silu tentu juga pandai kita memelihara malu suami dan malu lain di tempat yang patut kita menaruh malu.

Perempuan itu mengandungi dua Fa, dan akan huruf Fa kedua membawa erti percaya. Perempuan harus penuh kepercayaan, tidak mengkhianat, tidak kenal ingkar, tidak bercakap dusta-dusta dan ditegah membuka jalan yang haram.

Sedang huruf Wau pula seperti syarah Bonda Ampuan, adalah perempuan itu wangi kerana haruman bidadari di syurga itu kita yang warisi. Kerana wangi menyejukkan hati, mendamaikan suami dan terbendunglah kita dari menyebar perkhabaran busuk dan umpat-umpat berbau bangkai.

Sedang huruf akhir, Nun, membawa erti besar iaitu andalan. Seperti permata berharga, perempuan itu memelihara dan mengenal ia baik jahat, dosa dan pahala hingga dapat menjadi andalan dirinya. Yang namanya perempuan itu ialah insan yang terpecayakan.


rujukan : Lihat Surat-Surat Perempuan Johor, Faisal Tehrani. Raja Hamzah Yunus - "Perempuan Melayu : Menurut Takrif Naskah Melayu Riau Johor" dalam Jurnal Warisan Johor, Jilid II, Yayasan Warisan Johor, Johor Bharu, 1998.